Rabu, 05 Februari 2014
Nasim Lancar Cawangan Peugeot Di Nusajaya

NUSAJAYA – Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia, hari ini melancarkan cawangan Peugeot terbaharunya di sini, hari ini, sebagai sebahagian daripada pengembangan rangkaian agresifnya di seluruh negara.
Peugeot Nusajaya ialah cawangan baharu keenam yang dilancarkan Nasim tahun ini dan cawangan Peugeot kelima di Johor, yang merupakan pasaran kedua terbesar bagi pendaftaran kereta baharu di negara ini.
Dimiliki dan diuruskan oleh Autoportal Sdn Bhd, Peugeot Nusajaya akan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di Nusajaya serta kawasan sekitar seperti Bukit Indah, Gelang Patah, Senai, Kulai, Skudai, Pontian, Gugusan Taib Andak, Pekan Nenas, Simpang Renggam dan Ulu Tiram.
Bilik pameran itu yang dibina dengan kos RM1 juta, menyediakan kemudahan lounge pelanggan, bilik mesyuarat, Astro dan Internet WiFi berkelajuan tinggi percuma selain pusat servis yang dilengkapkan dengan tiga ruang untuk servis kereta dengan kapasiti 12 kereta sehari.
Pada suku pertama 2015, Autoportal Sdn Bhd akan membuka kemudahan 3S (jualan, servis dan bilik pameran) lebih besar di Tampoi.
Kemudahan seluas seekar dengan kos kira-kira RM3 juta itu akan mempunyai kawasan binaan 43,000 kaki persegi (3,995 meter persegi) dengan minimum 10 ruang servis.
Lokasi di Nusajaya ini akan dikekalkan sebagai cawangan satelit yang menyediakan kemudahan jualan dan servis.
Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George berkata Peugeot Nusajaya akan membolehkan syarikat itu memanfaatkan permintaan kereta Eropah yang semakin meningkat di Johor.
“Tahun lepas pasaran bagi kereta Eropah berkembang 37 peratus di negeri ini, mengatasi pertumbuhan keseluruhan pasaran. Setakat ini pada 2013, kami menyaksikan permintaan bagi jenama Eropah di Johor semakin meningkat, sejajar
dengan aliran nasional,” katanya kepada pemberita.
Peugeot Nusajaya merupakan sebahagian daripada rancangan pengembangan rangkaian seluruh negara Nasim bagi 2013 yang menyaksikan pelancaran cawangan di Butterworth, Batu Pahat, Alor Setar, Kuala Terengganu dan George Town.
Nasim akan melancarkan empat lagi cawangan pada akhir tahun dan menjadikan jumlah keseluruhan cawangannya di seluruh negara sebanyak 30. – BERNAMA
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar